Otai Royal Enfield Malaysia Jelajah Pulau Pangkor

OTAI Royal Enfield Malaysia memilih untuk mengadakan ride ke Pulau Pangkor pada awal 6-8 November 2022. Memandangkan untuk mengangkut jentera ke pulau hanya dengan menerusi perkhidmatan kargo dari Pulau Marina, kami memilih untuk bermalam di Gopeng pada hari pertama.
Hari Pertama:
Peserta seramai 14 orang dengan 13 jentera motosikal Royal Enfield berkumpul di RnR Jejantas Sungai Buloh (Northbound) pada pukul 8.00 pagi. Kami bersarapan dahulu sebelum bertolak pada jam 8:45 melalui Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di Sungkai. Kami meneruskan perjalanan melalui jalan dalam ke check point kami yang pertama iaitu Gua Tempurung, Gopeng, Perak.
Setelah berehat seketika di gerai berhampiran, kami pun memasuki gua yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Hampir dua kilometer kami perlu berjalan. Naik turun tangga sehingga tiba ke Platform 5. Pemandangan dan suasana di dalam gua sungguh menakjubkan. Lampu-lampu disediakan di sepanjang laluan demi keselamatan pengunjung. Tidak dinafikan, ia adalah satu pengalaman yang menarik.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kapal Korek Tanjung Tualang yang terletak di Batu Gajah tetapi sempat singgah sekejap makan tengahari di Warung Mi Udang Galah. Bila perut dah kenyang, dengan gembiranya kami menyambung semula perjalanan menuju ke Kellie's Castle untuk bergambar. Hampir lewat petang barulah kami dapat check-in di Homestay Abang Samsuddin yang terletak di Kg Jahang, Gopeng.

Hari Kedua:
Jam baru pukul 6.30 pagi, kami sudah bergerak dari tempat penginapan menuju ke Marina Kargo yang terletak di Pulau Marina (bersebelahan Lumut). Marina Kargo merupakan satu-satunya syarikat pengangkutan yang menawarkan perkhidmatan membawa kenderaan ke Pulau Pangkor. Kargo mereka digelar dengan ‘Tongkang Besi’ bertolak pada pukul 8.30 pagi. Perjalanan ke Pulau Pangkor mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Yes, kami berjaya menjejakkan kaki ke Pulau Pangkor dan teruskan perjalanan ke Kota Belanda. Kemudian kami ke pekan untuk membeli bahan-bahan basah seperti ikan dan makanan laut serta rempah ratus untuk aktiviti barbeque pada malam tersebut.
Konvoi tamatkan perjalanan di Senja Beach Resort yang terletak di Teluk Nipah. Kami berehat sebentar dan para peserta diberi peluang untuk melakukan aktiviti bebas. Biasalah, dah sampai tepi pantai tu macam-macam aktiviti dalam fikiran masing-masing. Ada yang mandi laut, bergambar di bongkah batu-batu ala selebriti, berbual-bual sambil 'pekena' masakan orang Pangkor, ada yang sambung 'ride' pusing-pusing Teluk Cempedak dan paling mantap tentulah rakan-rakan yang rajin untuk menyediakan rempah dan sos.
Penat dan stress bagaikan lenyap bersama hari yang semakin gelap. Tempat penginapan kami betul-betul mengadap matahari terbenam yang memberikan pemandangan cukup indah dan tenang.
Kami mulakan acara 'membakar' makanan dan lauk pauk pada pukul 7.30 malam. Peralatan dapur dan masakan telah disediakan oleh pihak resort. Alhamdulillah makan malam kami hari ini disediakan oleh kami secara berjemaah atau teamwork. Bila ramai tolong, apa pun menjadi lebih cepat dan mudah. Seronok betul dapat bertemu kembali kawan-kawan yang sebelum ini 'terpisah' disebabkan kekangan kerja.
Malam tersebut langit dihiasi dengan fenomena gerhana bulan yang dapat disaksikan oleh semua yang berada di situ. Ia bonus buat kami.
Hari Ketiga:
Seawal 7.00 pagi kami dah bersiap-siap untuk bersarapan berhampiran dengan Masjid Terapung. Menunya 'Laksa Pangkor'... terangkat beb! Kami meronda di kawasan pekan dan kilang pemprosesan hasil lautan untuk membeli ole-ole buat keluarga di rumah. Ikan bilis mata biru dan sotong kering menjadi pilihan. Setelah selesai membeli-belah, kami singgah sebentar di Masjid Cina kemudian pulang ke resort dan bersiap-siap untuk pulang.
Sebelum ucapkan 'selamat tinggal' buat Pulau Pangkor, kami singgah dulu makan tengahari di pekan. Aduhai, pilihan lauknya cukup banyak dan semuanya sedap-sedap belaka. Berselera sungguh kami makan. Selepas menunaikan solat Zohor/Asar di Masjid Teluk Raja Bayang, kami terus ke jeti kargo untuk membawa jentera kami ke Pulau Marina semula. Setelah urusan kargo selesai, kami terus bertolak pulang ke Lembah Klang melalui Lebuhraya Utara Selatan (Enter-Sungkai).
Perjalanan yang panjang ditempuhi dengan tunggangan penuh berdisiplin dan jiwa yang kental. Masing-masing dah biasa dengan konvoi jarak jauh, inilah masanya pengalaman digunakan dengan sebaiknya. Lebih kurang pukul 10.30 malam, kami semua telah selamat sampai ke destinasi masing-masing. Terima kasih daun keladi, nanti kita 'ride' lagi. RR
- Halim RE