Warna Warni Jelajah Ramadhan 2015
Kami memilih untuk menunggang di jalan-jalan kampung bagi merasai kelainan suasana dan menikmati ‘koner-koner’ yang banyak. Cabaran dan ujian yang ditempohi tetap lebih perit dan amat mencabar dari segi fizikal serta mental. Apa tidaknya jam menunjukkan pukul 3.00 pagi kami masih bermotor... tempoh menunggang di jalan yang agak lama menyebabkan badan cepat lesu. Nasib ler..
Hari pertama 26 Jun: Bukit Beruntung – Putrajaya - Kuala Pilah – Keratong - Muadzam Shah – Kuantan - Kemaman
Seramai 22 orang melibatkan rakan-rakan lama dan kenalan baru yang hadir dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak. Paling mengujakan ialah penyertaan tiga orang penunggang wanita yang cukup kental iaitu Puan Nor Wani Idayu (Kriss 120), Cik Norhabibati Bib (Honda Future125) dan Cik Rohaizan (Honda PCX150).
Peserta datang dari berbagai latar belakang pekerjaan. Kami dapat bersama berkumpul macam satu keluarga bagi meneruskan minat mengembara dengan motosikal, bersilaturahim dan mengekalkan ikatan ukhuwah yang sekian lama terjalin. Itulah yang paling membahagiakan kami. Bahagia sangat sangat….
Kami singgah di ibu pejabat Racing Boy sebelum menuju ke Putrajaya untuk bergambar kenangan berlatar belakangkan Masjid Putra dan bangunan Jabatan Perdana Menteri. Kami kembali meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah tetapi tiba-tiba motor Sdr Meor mengalami masalah sistem elektrikal. Sdr Fazli, ditugaskan menunda DR800 dengan kaki untuk ditinggalkan di rumah Sdr Wahid di Nilai. Meor tetap dapat meneruskan perjalanan cuma perlu menukar daripada sebuah mesin 800cc kepada Modenas Kriss CT100.
Kami melalui jalan kampung dan ladang kelapa sawit menuju ke Jempol. Jalannya lurus macam pembaris tetapi permukaan jalannya tidak rata, bertampal, berlopak, berlubang dan memang sangat menguji kemahiran menunggang. Kami tetap berhati-hati dan terus menunggang dengan penuh semangat. Riang sungguh.
Sebelum sampai ke Bandar Tun Razak motor Sdr Asri pula dilanda masalah, keputusan diambil untuk motor ditinggalkan di rumah seorang kawan. Banyak masa terbazir kerana masalah kerosakan motor, sedihnya… tetapi semangat ‘brotherhood’ menyebabkan segala masalah ini diatasi dengan berkerjasama antara para peserta. Sdr Asri kini terpaksalah menjadi pembonceng motor Hj Amin. Perjalanan yang sepatutnya lima atau enam jam kini menjadi 20 jam untuk sampai ke Kemaman. Dahsyat sungguh.
Selepas berbuka puasa dan mengisi petrol di Bandar Muadzam Shah, kami terus menunggang menuju ke Kuantan dalam kegelapan malam yang pekat. Dalam perjalanan, coil plug XTM Wak Salleh pula bermasalah. Terpaksalah balik ke rumah semula untuk menukar coil baru. Nasib baik rumahnya dekat… di Kuantan sahaja. Di pertengahan jalan hujan pula turun tetapi mujurlah, tak lebat, kami redah jer lah.
Jam 11.00 malam. Sebaik saja kami singgah makan malam di Kampung Sungai Ular dekat Cherating, hujan turun dengan lebatnya, selesai makan malam hujan pun berhenti. Lega tetapi dugaan silih berganti. Sebaik saja ingin meneruskan perjalanan motor MBX Sdr Misran dan SYM Tuan Hj. Amin pula meragam. Pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan enjin kedua motor itu, keputusan diambil - kedua motor ditunda ke Kemaman.
Kami semua sampai di penginapan Kompleks Belia, Kemaman pada jam 3.20 pagi. Asramanya selesa. Bila saja dapat katil masing-masing, bagi yang kepenatan terus berdengkur dengan pakaian menunggang sekali. Maka bergemalah bunyi bunyian lagu yang merdu dengan berbagai irama. Sdr Latif dan Sdr Meor yang sering kecoh tu pun tak terdaya kali ini, tumbang….
Hari kedua 27 Jun 2015: Kemaman - Kuala Berang - Pasir Puteh - Jeli
Jam 10.00 pagi semua dah siap nak bergerak semula, motor MBX dah sihat, tukar plug elok jer. Padahal malam tadi dah berapa kali tukar. Motor Hj. Amin belum dapat dipulihkan, walaupun puas mencuba berbagai cara. Sdr Jasni siap jemput pomen Cub Prix datang tolong tetapi akhirnya Sdr. Zali mengesan ada wayar yang tidak bersambung.
Pukul 12.00 tengahari baru dapat bergerak. Kami membuat kunjungan hormat ke rumah ‘tuan’ punya pasukan lumba Cub Prix CKJ. Kami juga terkejut apabila disambut oleh selebriti terkenal tanahair, Sdr Erryputra dan dapat pula seorang sebungkus kuih raya. Selepas puas bergambar kami menuju ke Kertih di Dungun.
Panas yang sangat terik menanti kami ketika menyusuri perjalanan di jalan kompleks penapisan minyak yang terletak di tepian pantai ini. Kami menuju ke Ajil seterusnya ke Kuala Berang, ternyata jalan pendalaman ini teduh sikit, tetapi masih tetap kena berhati-hati. Ada di antara kami yang hampir merempoh sekawan lembu yang tiba-tiba melompat lompat ke tengah jalan. Sebelum sampai di Kuala Berang, kami sekali lagi disimbah hujan yang lebat, kami redah dan menerima ujian ini dengan gembira. Tidak ada seorang pun yang mahu berhenti sebab bagaikan dapat mandi atas motor yang cukup menyejukkan badan yang tadinya terdedah dengan bahang kepanasan. Segar sikitlah.
Kami teruskan perjalanan ke Bandar Permaisuri. Terus mengisi petrol dan jam dah menunjukkan sudah hampir 7.00 petang. Pakaian menunggang yang basah tadi sudah kering di badan.
Memandangkan Jeli masih jauh, cepat-cepat kami beredar menuju ke Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan dan berhenti di restoran E-rup Sup untuk berbuka puasa dan menunaikan solat. Kami pun menuju ke Jeli melalui jalan raya timur barat. Penginapan kami pada malam itu merupakan tiga buah homestay yang cukup selesa.
Hari ketiga 28 Jun: Jeli-Grik-Kulim-Pulau Pinang
Kami berhenti sebentar di kawasan R&R Banjaran Titiwangsa untuk bergambar. Kami terus menuju ke Kulim, panas agak terik dan berbahang, rimas jugalah. Di stesen Petron lebuh raya Kulim-Butterworth kami berhenti rehat. Ariffin, abangnya, Zaikharudin dan Hairol Matli terus membasahkan pakaian menunggang dengan satu baldi air. Macam mandi pula depa ni! Tak tahan panas dah weiii… Peserta lain sekadar membasah muka dan kepala. Dahaga jangan cakaplah. Syukur semua mampu meneruskan ibadat puasa dengan penuh keimanan.
Rupa-rupanya sebaik berlepas menuju ke Pulau Pinang, motor MBX125 Sdr Misran mengalami kerosakan. Ahli-ahli di belakang terus menghulurkan bantuan, peserta Kuantan mengawal keadaan laluan dan Sdr Fazli ditugaskan menunda MBX ke Pulau Pinang. Peserta di hadapan terus menaiki feri dan menuju ke medan selera Gurney Drive untuk berbuka puasa. Sementara peserta di belakang melintasi jambatan utama. Selesai berbuka kami menuju ke Batu Feringgi untuk penginapan malam ini
Nampaknya ujian demi ujian jelajah Ramadhan kami belum berakhir. Di tempat penginapan, kami teruji lagi. Nama gah dan hebat nama.. Sayang konon (sebahagian daripada nama hotel) tetapi tak mesra penunggang motor, terpampang tulisan “group biker are not allowed.” Jika nak bermalam di sini, motor tak boleh dibawa masuk. Kami terpaksa meletakkan motor di atas pembahagi jalan utama kira-kira 100 meter dari tempat penginapan. Malam itu kami bergilir berjaga setiap jam demi keselamatan motor. Cobaaaan… kesabaran juga hampir habis hadnya.
Hari keempat 29 Jun: Pulau Pinang - Tanjung Malim dan Rumah Masing-Masing.
Hari terakhir semua bangun dengan segar setelah dapat berehat dengan sempurna. Jam 9.00 pagi semua dah siap. Kami bergambar dan mendengar sedikit taklimat perjalanan hari ini.
Selepas melawat sebuah kilang membuat topi keledar di Sungai Dua, Butterworth, kami memasuki persimpangan bandar baru untuk ke kilang perusahaan Jeruk Madu Pak Ali di Nibong Tebal. Barulah dapat “bershopping” untuk buah tangan buat isteri dan anak-anak di rumah. Sdr Asri berpisah dengan kami di Simpang Pulai untuk pulang ke Ipoh dan kami tetap meneruskan perjalanan menuju ke hentian Tapah. Kami berjaya meneruskan tunggangan ke Tanjung Malim dengan lancar dan teratur sekali walau ada juga tiga peserta di depan terlepas simpang. Tetapi semua dapat berkumpul semula dan tepat jam 7.00 petang kami ke Restoran Dusun Bay untuk berbuka puasa dengan beraneka juadah.
Perasaan sayu mula tergambar di wajah setiap peserta yang akan berpisah menuju ke rumah masing-masing. Selepas sedikit taklimat akhir kami pun berpelukan bersalaman dan mula bergerak pulang. Percaya tidak… ada peserta yang sampai ke rumah pada keesokan harinya. Itulah warna warni jelajah Ramadhan kali ini. RR
Ab. Wahid bin Ibadullah (B0088)
Popular