Program Jelajah Pulau Langkawi Bersama Club Antique Motor Kulim
Pada 7, 8 dan 9 Januari 2022 yang lalu, Club Antique Motor Kulim bersama Kapcai 2 Beradik telah mengadakan Konvoi Jelajah ke Pulau Langkawi, Kedah.
Pakej 3 hari 2 malam berjaya dengan para peserta selamat pergi dan pulang walaupun waktu pulang dari konvoi ada juga jentera berkonvoi yang mengalami kerosakan tapi syukurlah semuanya tetap sampai dengan selamat. 'Betoi' la pepatah melayu ada cakap, “Jauh perjalanan, luas pemandangan” jadi, kurangkanlah tekanan namun tambahlah pengalaman.
Terima kasih kepada penaja-penaja kami yang sudi menaja program kami seperti syarikat Kak Sal Sardin, Koyoko Sales dan Keith Cruiser Helmets.
Program kali ini amat meriah kerana ia adalah buat julung kalinya konvoi anjuran Club Antique Motor Kulim. Seramai 25 orang ahli yang datang dari beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Tujuan utama konvoi 'ride' ke Pulau Langkawi diadakan adalah sebagai tanda ucapa terima kasih buat CAMK kerana masih aktif dalam dunia permotoran.
Hari 1 (7 Januari 2022). Kami bergerak dari Kulim ke Kuala Perlis awal-awal lagi, manakala para peserta tampak cukup bergaya bersama Honda C70 lampu bulat dan lampu petak. Kami melalui lebuhraya dari Sungai Petani ke Kuala Perlis.
Ketika dalam perjalanan, konvoi kami mendapat semangat daripada para pengguna lebuhraya yang memotong kami sambil membunyikan hon. Setibanya di Kuala Perlis kami menaiki feri Roro menuju ke Pulau Langkawi yang mengambil masa lebih daripada tiga jam.
Setiba di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Bukit Malut, kami terus ke Homestay yang terletak di Pantai Chenang untuk berehat dan makan malam.
Hari kedua. Bermulakan acara konvoi Jelajah Pulau Langkawi. Syukur dan seronok sekali apabila ada juga sahabat sehobi dengan minat yang sama membawa kami mengelilingi pulau tersebut. Mereka yang dimaksudkan ialah Encik Muhd Noor Iman dan En. Ahmad Fauzey. Terima kasih banyak atas kesudian untuk membantu dan mengerat lagi hubungan.
Selain berkenalan dengan sahabat baru, para peserta konvoi berpeluang untuk melihat keindahan destinasi pelancongan negara yang benar-benar cantik.
Makanan di Pulau Langkawi juga tidaklah terlalu mahal jika pandai mencari tempat ianya beroperasi. Apa yang penting ialah keindahan alam flora dan fauna yang perlu dijaga sampai bila-bila.
Hari ketiga: Jam baru menunjukkan 7.30 pagi tetapi kami sudah mula keluar menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk menyempurnakan program penyerahan cenderahati dari Club Antique Motor Kulim untuk Ketua Polis Daerah Langkawi iaitu Assistant Komisioner Tuan Shariman Ashari. Syukurlah kerana segala perancangan telah dipermudahkan. Sebelum bertolak pulang ke Tanah Besar, kami sempat makan pagi dan membeli belah buat kali terakhir.
Pulau Langkawi kami tinggalkan dan apabila tiba di Kuala Perlis, kami menyambung perjalanan ke kedai Kak Su Laksa Beras. Memang terangkat makan di sini... inilah nikmatnya laksa 'pure' mai dari utara.
Dalam santai dan tenang kesemua 25 ahli yang menyertai acara konvoi kali ini telah selamat sampai ke rumah masing-masing. Terima kasih buat Tuan Pengerusi Club Antique Motor Kulim iaitu En. Abdul Razak dan semua AJK program yang sentiasa menjalankan tugas dengan baik sekali. Jangan lupa layari FB iaitu Club Antique Motor Kulim. Semoga jumpa lagi. RR
Popular