Isu Terkini

Julai 2024

Berita Kelab / 19 Mac 2021

TRK Sarawak Community (TRKSC) 1st Gathering 2020

Setelah berakhirnya PKPB di Kuching pada 27 November 2020, ahli-ahli TRK Sarawak Community (TRKSC) seperti cacing kepanasan, tidak senang duduk. WhatsApp Group TRKSC tiba-tiba aktif agar aktiviti ride dilakukan. Tangan ingin memulas throttle minyak, rindu mendengar deruman ekzos TRK502 yang seakan bunyi enjin Inline 4. Lantas dengan idea dari Ahli Jawatankuasa TRKSC, semuanya terus sepakat untuk menghimpunkan sebanyak mungkin jentera Benelli TRK di dalam Sarawak. Perkara yang sudah lama dirancang tetapi masih tidak menjadi kenyataan.

TRK Sarawak Community (TRKSC) ini adalah sebuah kelab baru, yang ditubuhkan sejak model TRK dikeluarkan oleh Benelli. Bermula dari 2017 hingga kini, jumlah ahli adalah seramai 57 orang. Di awal penubuhan TRKSC, ia hanyalah untuk berkongsi pengalaman dan permasalahan mengenai jentera TRK. Namun apabila bilangan ahli semakin ramai, dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan secara tidak langsung, maka tertubuhlah Jawatan Kuasa Kecil dengan tujuan untuk menyelaras serta memudahkan pengurusan aktiviti dan keseragaman komunikasi.

Disember 18-20, 2020 tarikh yang dipilih. Hala tuju adalah ke Sibu dan ke Kapit. Dengan kesuntukan masa, beberapa AJK diamanahkan untuk membuat urusan tempahan baju dan tempat penginapan. Syukur, walaupun di dalam masa yang singkat, semua urusan berjalan lancar. Kami Tidak Banyak, Tapi Kami Ada.

Hari Pertama: Jumlah motosikal Benelli TRK yang berkumpul adalah sebanyak 29 buah. Dengan majoriti 20 buah dari Kuching, diikuti dari Sri Aman, Sarikei, Mukah, Sibu, Bintulu dan Miri. Cukup untuk meliputi satu Sarawak. Malangnya peserta dari Limbang dan Lawas tidak dapat menyertai gathering ini disebabkan Brunei masih lagi menutup sempadannya kerana pandemik Covid-19.

Perhimpunan berlangsung selama 3 hari 2 malam dan tempat berkumpul adalah di Sibu pada hari pertama dan Kapit pada hari kedua.

Seawal jam 7.30 pagi, sudah kelihatan beberapa kelibat jentera TRK di Stesen Minyak Petron Asajaya, Samarahan. Kesemua TRK dari Kuching, Samarahan, Padawan berkumpul di tempat yang sama. Memandangkan jumlah jentera yang banyak, jalan yang kecil dan sesak pada waktu pagi, pergerakan jentera dibahagikan kepada dua kumpulan. Marshal bertugas akan memantau pergerakan jentera supaya teratur, berdisiplin, menghormati serta tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Laluan ke Sibu adalah melalui Jalan Pesisir, menggunakan feri Triso, feri Pusa dan masuk ke jalan Pan Borneo Highway yang masih dalam pembinaan. Perjalanan dijangka memakan masa enam ke tujuh jam.

Agak beruntung pada kali ini. Cuaca sepanjang perjalanan amat baik berbanding dengan hari yang sebelumnya. Terserlah keterujaan di wajah rider serta pembonceng masing-masing untuk berkonvoi. Maklumlah disebabkan Covid 19 dan PKPB dikenakan bagi daerah Kuching, banyak jentera yang hanya berselimut. Bila dapat berkonvoi pada jarak yang agak jauh, inilah masanya untuk peserta melepaskan gian menunggang sempena penutup untuk tahun 2020.

Tepat jam 8.30 pagi, konvoi bermula dan dibahagi kepada dua kumpulan. Pergerakan konvoi berjalan lancar. Tiada sebarang masalah. Komunikasi antara para marshal memudahkan lagi susun atur perjalanan agar konvoi tidak berpecah. Setelah satu jam setengah perjalanan, konvoi tiba di jeti feri Triso. Kelihatan deretan panjang kereta beratur menunggu giliran menaiki feri.

Di jeti inilah berlakunya kejadian menyayat hati pada 1 Januari 2021, di mana sembilan orang ahli keluarga mati lemas kerana kenderaan mereka terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar ini. Kejadian ini amat memberi kesan kepada rakyat Sarawak, kerana kebanyakan mangsa terdiri daripada usia yang sangat muda.

Setelah melepasi dua buah feri di Triso dan Pusa, konvoi berhenti di Saratok untuk makan tengahari. Perjalanan diteruskan dan tiba di Sibu pada jam 2.00 petang. Di Sibu, peserta menetap di Li Hua Hotel, berhampiran pusat bandar dan berhampiran Sibu Waterfront.

Acara pada malam tersebut adalah majlis suai kenal, penyampaian sijil penyertaan, sijil penghargaan dan penyampaian anugerah kepada ahli yang telah dikenalpasti. Acara dilakukan sambil para peserta menikmati makan malam yang disediakan. TRKSC telah memberikan anugerah berikut kepada peserta terpilih;

  1. Anugerah Bikers Kental
  2. Anugerah TRK Di Mana – Mana
  3. Anugerah TRK Silih Berganti
  4. Anugerah TRK Paling Gah

Acara makan malam dan aktiviti yang pada mulanya dirancang hanya secara ringkas dan santai, menjadi meriah dan berlarutan sehingga jam 11.00 malam. Tidak cukup dengan itu, seperti biasa, aktiviti teh tarik disambung di luar. Rancak bersembang sehingga jam 2.00 pagi.

Hari Kedua: Hala hari ini ialah ke Kapit. Dahulunya, pengangkutan utama ke Kapit ialah menerusi udara atau sungai. Perjalanan dengan menggunakan feri ekpress dari Sibu, melalui Sungai Rajang mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam.

Setelah sekian lama, akhirnya pada Oktober 2020, Kapit berjaya dihubungkan melalui jalan darat dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak. Lebih menarik, Ketua Menteri sendiri berkonvoi menggunakan motosikal berkuasa tinggi beliau dari Sibu ke Kapit pada hari perasmian tersebut. Jalan ke Kapit memang memenuhi citarasa bikers. Ada jalan lurus untuk mereka yang sukakan kelajuan dan ada jalan berselekoh untuk mereka yang suka mengasah lutut. Tapi awas, ini adalah jalan awam dan keselamatan pengguna lain perlu diambil kira.

Walaupun jalan raya ke Kapit sudah dibuka, masih ada lagi saki baki kerja pembinaan yang perlu dilakukan oleh pihak kontraktor. Sama ada untuk ke Kapit atau keluar dari Kapit, jalan raya akan dibuka kepada umum pada masa-masa yang tertentu sahaja. Pada waktu lainnya, jalan raya akan ditutup dengan palang untuk menghalang kenderaan dari masuk ke kawasan ini, demi memberi peluang kepada pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

Konvoi TRKSC membuat perancangan untuk masuk ke Kapit pada jam 12 tengah hari. Dengan itu, konvoi mesti bergerak dari Sibu pada jam 11 pagi. Dengan jangkaan masa yang betul, konvoi ini tidak perlu beratur di tengah panas atau berhujan untuk menunggu palang dibuka. Namun sekiranya terlewat, palang akan ditutup pada pukul 1.30 tengah hari dan hanya dibuka semula pada jam 6 petang.

Sebelum bergerak ke Kapit, semua peserta berkumpul di Dataran Sibu untuk sesi bergambar. Jentera TRK disusun rapi. Dengan keseragaman baju, kelihatan sungguh segak dan anggun.

Selesai sesi bergambar, semua jentera mengisi minyak, maka bermulalah perjalanan ke Kapit. Perjalanan ke Kapit dijangka memakan masa dua jam. Cuaca mula kelihatan mendung, tapi bersyukur perjalanan berjalan lancar dan hanya hujan renyai-renyai.

Di Kapit, konvoi terus ke Jambatan Mujong, iaitu penghujung jalan berturap. Tempat penginapan di Kapit adalah di hotel Meligai. Selesai check-in, para peserta mengambil peluang untuk berehat dan bersiar-siar di pekan Kapit. Ternyata dengan adanya kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, pekan Kapit semakin meriah dengan kunjungan para pelancong.

Untuk makan malam, pihak TRKSC menjemput pihak Teresang Bikers sebagai tetamu jemputan. Maklumlah Teresang Bikers ini dikira sebagai tuan tanah di Kapit ini. Terima kasih kepada Cikgu Lee, Penasihat Teresang Bikers yang sudi hadir dan memberikan ucapan semangat, kata-kata nasihat kepada TRKSC yang usianya baru setahun jagung ini. Di kesempatan ini, pihak TRKSC dan Teresang Bikers mengambil peluang untuk bertukar momento di antara kelab masing-masing. Semoga ikatan ukhuwah sesama kelab ini berkekalan.

Selesai makan malam, dengan ini berakhirlah acara TRKSC Gathering 2020. Pihak penganjur memberi kebebasan kepada para peserta untuk bergerak pulang awal pagi dan ada yang akan bergerak tengah hari.

Sekitar jam 10 malam, semua peserta selamat pulang ke kediaman masing-masing.

Selaku pihak penganjur, rakan-rakan AJK TRKSC ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peserta terlibat yang meramaikan dan memeriahkan acara ini. Walaupun ia diadakan dengan cara yang kecil, pertama kali dan jumlah budget yang kecil, tapi ia mampu dilakukan dengan meriah.

Semoga kita semua bertemu lagi di masa akan datang. RR

- Mohd Asri

Isu Pada

Mac 2021

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Couple Ride Ke Songkla

Ride Santai Selepas Kerja

Mega Gathering CBR-RR Malaysia ke-10

Kawasaki Lady Bikers Group Ride Ke Phuket

'RE' Tour De Langkawi Bersama Otai Royal Enfield Malaysia

Malaysia International Classic Bikes Festival 2023

Ride Elak Kepanasan Mentari

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.