Club Antique Motor Kulim Ke Pantai Timur
Pada 2-4hb Oktober 2020 (selama 3 hari 2 malam), sebanyak 12 buah motosikal cub Honda C70 lampu bulat dan lampu petak yang terdiri daripada ahli Club Antique Motor Kulim (CAMK) telah menjelajah ke Terengganu Darul Iman.
Perjalanan dari Kulim ke Kuala Terengganu mengambil masa lebih daripada sembilan jam. Ini kerana pihak konvoi terpaksa mengharungi hujan agak lebat yang menguji setiap peserta semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi. Semestinya tumpuan terhadap jalan raya amat penting agar tidak ada sebarang insiden buruk berlaku. Memang unik melihat motosikal-motosikal lama berkonvoi untuk satu perjalanan yang jauh.
Setibanya di Petronas Bukit Bunga, Kelantan, CAMK telah disambut oleh beberapa orang ahli Terengganu Bikers Kapcai. Terima kasih diucapkan kepada En. Mohamad Azmi Bin Abdul Razak dan En. Saifulnizan Bin Harun wakil dari kelab Terengganu Bikers Kapcai yang sentiasa bersama kami dari awal hingga akhir konvoi.
Kelab kami telah diberi layanan yang cukup baik oleh rakan-rakan bikers di sana. Kami juga telah dibawa untuk melawat beberapa tempat menarik di Kuala Terengganu seperti Rumah Antik Pok Him yang terletak di Lampung Durian Burung, Jambatan Kayu, Kampung Pulau Sekati dan Masjid Tokku Paloh.
Dari Masjid Tokku Paloh, konvoi diteruskan ke Drawbridge (Jambatan Angkat), Dataran Shah Bandar, Pantai Batu Buruk, Noor Arfa Batik, Pasar Payang dan Masjid Terapung Kuala Ibai. Pemandangan di kawasan-kawasan peranginan ini memang cantik dan mendamaikan. Kami bergambar kenangan bersama rakan-rakan dan mengabadikan pengalaman ini buat selama-lamanya.
Konvoi kali ini berjaya direalisasikan dengan idea dari pengerusi Club Antique Motor Kulim iaitu En Abdul Razak Bin Buhari dan ahli-ahli lain. Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka yang terlibat dalam perjelajahan kali ini.
Untuk mengikuti kisah dan aktiviti selanjutnya pembaca boleh melayari di Facebook: Club Antique Motor Kulim. RR
Popular