Menyambut Hari Kemerdekaan Di Pulau Langkawi
Pulau Langkawi adalah satu destinasi percutian domestik mahupun antarabangsa, tersohor dengan keindahan pulau dan kisah sejarahnya. Kesempatan ini diambil bagi penggemar motor kuasa tinggi untuk menjadikan Langkawi sebahagian daripada kalendar acara tahunan yang perlu dilawati. Hasil dari perancangan rapi dari segi penyertaan, perjalanan, penginapan dan aktiviti yang boleh dilakukan, terhasillah satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan oleh para peserta konvoi. Kelab motosikal kuasa besar Yamaha XJ6 Malaysia dengan kerjasama Langkawi Bikers Group telah bersama menjayakan konvoi jelajah ke pulau Langkawi tahun ini.
Tujuan utama konvoi ini diwujudkan ialah untuk menarik penunggang-penunggang motosikal berkuasa tinggi melancong di dalam negeri sambil merapatkan silaturrahim antara penunggang. Sambil memupuk semangat bantu membantu antara peserta, konvoi ini lebih bermakna lagi kerana tarikhnya jatuh pada 31 Ogos iaitu hari kemerdekaan. Dan di sinilah terletaknya semangat kami di dalam konvoi ini.
Seawal 12 pagi pada 30 Ogos, peserta memulakan perjalanan setelah semuanya berkumpul di Hentian Rehat Rawang. Disebabkan perjalanan ini bermula setelah penat seharian bekerja, kami memperbanyakkan rehat bagi menyegarkan kembali dari terasa mengantuk. Kami berhenti di Hentian Gunung Semanggol untuk mengisi perut yang lapar. Walaupun jam sudah menunjukkan 3.30 pagi tetapi jalan tidak putus-putus dengan kenderaan.
Tepat jam 7 pagi, kami sudah tiba di Kuala Perlis. Bersarapan dan berehat memanglah dinanti-nantikan para peserta setelah bersengkang mata semalaman. Pukul 1.30 petang, kami bersiap sedia untuk membawa jentera masuk ke perut feri. Pengalaman ini amat teruja sekali bagi mereka yang pertama kali merentas lautan bersama jenteranya. Fasiliti yang disediakan dalam feri Roro amat memuaskan, ruang yang luas berhawa dingin, kantin dan dua buah televisyen skrin rata. Kami selamat tiba di perkarangan kastam Langkawi setelah tiga jam di perairan.
Setelah makan malam di restoran tempatan, kami berkonvoi menuju ke Dataran Helang yang terletak di pekan Kuah yang menjadi mercutanda kebanggaan penduduk Langkawi. Satu upacara sambutan Hari Kemerdekaan telah berlangsung di sini dan dikunjungi oleh pelancong dan penduduk tempatan bagi meraikan majlis sambutan ini. Sementara menunggu detik 12 malam, pelbagai acara telah disajikan kepada penonton dari hiburan dan sketsa yang bercirikan kemerdekaan. Detik 12 malam disambut dengan laungan ‘Merdeka’ dan bunga api menghiasi angkasa sambil diperdengarkan lagu kebangsaan, Negaraku. Setelah acara bergambar, kami beredar pulang ke penginapan masing-masing kerana esok ada acara yang menarik menanti.
Tepat jam 10 pagi, kami sudah berada di perkarangan Kompleks Kraftangan Langkawi sambil disambut oleh Pengarah Kompleks, En. Rosman serta beberapa kakitangan yang lain. Kata-kata aluan diberikan sempena lawatan kami ini dan kami dibawa melawati ruang-ruang pameran yang tersedia ada. Antaranya, ruangan batik, tenun, pengantin, alatan lama, kerja kayu, blow crystal dan macam-macam lagi. Selain itu kami diberi peluang menunjukkan bakat masing-masing di atas sekeping kain untuk dicantingkan. Pengalaman mencanting batik memang teruja dan menyeronokkan. Setelah selesai mencanting, kami dihidang jamuan tengahari sambil disajikan tarian tradisional melayu yang indah. Peserta juga diberi peluang menari bersama-sama di atas pentas. Kemudian, masa untuk membeli belah barangan hasil dari pengusaha anak Malaysia di sini. Harga yang berpatutan dan kualiti yang sangat tinggi, sememangnya berbaloi.
Kami juga dapat berkunjung ke Galeri Perdana. Rugi kiranya sesiapa yang datang ke Pulau Langkawi tanpa singgah ke sini. Banyak lagi tempat-tempat menarik dilawati seperti Gunung Raya, Kereta Kabel, Telaga Tujuh, Pantai Chenang, Beras terbakar, Makam Mahsuri, dan yang termashyur, hasil gamatnya. Seterusnya acara yang dinantikan iaitu acara membeli belah, perkara wajib jika berkunjung ke pulau bebas cukai ini.
Keesokan hari, kami berangkat pulang bermula jam 9 pagi, kami telah menanti di kompleks kastam untuk menaiki feri Roro. Selepas makan tengahari, kami pun berangkat pulang dari Kuala Perlis. Seharian menunggang untuk pulang ke destinasi masing-masing. Satu pengalaman yang puas dan menarik dapat dirasakan oleh setiap peserta. RR
– Sid@2014
Popular